AADK DI RADIO – AADK W. P LABUAN, 24 JUN 2010

Posted: 7 Julai 2010 in Pelbagai

RADIO MALAYSIA LABUAN 

24 JUN 2010

TAJUK           :           FUNGSI DAN PERANAN AGENSI ANTIDADAH KEBANGSAAN

Soalan 1

 

Sebagaimana yang saya dimaklumkan Agensi Antidadah Kebangsaan W.P Labuan baru sahaja beroperasi di W.P Labuan pada 10 Januari 2007, bolehkah Cik Effa terangkan serba sedikit tentang sejarah penubuhan Agensi Antidadah  Kebangsaan, saya pasti ramai pendengar yang ingin mengetahui dengan lebih lanjut tentang Agensi Antidadah Kebangsaan.

 

Jawapan 1

 

Terima kasih ……………Assalamualaikum dan salam sejahtera saya ucapkan kepada semua pendengar Radio Malaysia Labuan. Terlebih dahulu saya bagi pihak Pengarah Agensi Antidadah Kebangsaan Negeri Sabah ingin merakamkan ucapan ribuan terima kasih kepada Radio Malaysia Labuan kerana memberi peluang kepada Agensi ini menyampaikan maklumat melalui radio.

Berbalik kepada persoalan tadi, untuk makluman pendengar semua, usaha awal kerajaan bagi menghadapi masalah dadah adalah melalui tindakan undang-undang dengan menguatkuasakan Akta dadah Berbahaya 1952. Walau bagaimanapun, pelaksanaan undang-undang ini dijalankan oleh agensi-agensi kerajaan berkenaan secara berasingan. Usaha-usaha untuk menyalaraskan penguatkuasaan undang-undang ini hanya mula dibuat pada tahun 1972, apabila Pusat Biro Narkotik bertanggungjawab mengawal dan mengawas masalah dadah dalam bidang penguatkuasaan, pencegahan dan penyelarasan serta penyelidikan. Biro ini dibubarkan dan digantikan dengan Urusetia Dadah pada Ogos 1979 dan pada 1983 digantikan oleh Pasukan Petugas Anti Dadah. Tugas Penguatkuasaan Biro  diambil oleh cawangan Antidadah, Polis Diraja Malaysia. Pasukan Petugas Anti dadah akhirnya dimasukan ke Kementerian dalam Negeri 1995. Agensi Dadah Kebangsaan di wujudkan pada tahun 1996 setelah kerajaan bersetuju terhadap hasil percantuman Pasukan Petugas Anti Dadah dan Bahagian Rawatan dan Pemulihan Dadah, Kementerian Dalam Negeri. Kerajaan telah meluluskan penubuhan Agensi Dadah Kebangsaan yang bertanggungjawab sebagai Urusetia kepada Majlis Dadah Kebangsaan dan bertanggungjawab kepada semua aspek tindakan anti dadah. Misi Agensi Dadah Kebangsaan ialah untuk memerangi ancaman dadah bagi mewujudkan masyarakat Malaysia yang bebas daripada dadah. Pada Disember 2004 Akta Agensi Antidadah Kebangsaan 2004 ditubuhkan, Agensi Dadah Kebangsaan ditukar nama kepada Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) dan diletakan di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, walaupun nama bertukar dari Agensi Dadah Kebangsaan ke Agensi Antidadah Kebangsaan, namun peranan dan fungsi tetap sama hanya bernaung di bawah kementerian yang berlainan sahaja. Di sini juga saya ingin memaklumkan kepada pendengar semua yang saya pasti mungin ramai yang keliru antara Agensi Antidadah Kenangsaan dengan PEMADAM. Agensi Antidadah Kebangsaan bukan Pemadam, Agensi Antidadah Kebangsaan adalah Agensi Utama Memerangi Dadah yang bernaung di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, manakala PEMADAM pula adalah NGO iaitu Persatuan Membentras Dadah Malaysia. Saya harap para pendengar tidak keliru dan jelas dengan penerangan saya tadi.  

Soalan 2

Begitulah tadi ringkasan tentang sejarah penubuhan Agensi Dadah Kebangsaan dan sekarang lebih dikenali Sebagai Agensi Antidadah Kebangsaan. Bolehkah Cik Effa jelaskan apakah objektif Agensi Antidadah Kebangsaan?

Jawapan 2

Seperti yang saya maklumkan tadi Agensi Antidadah Kebangsaan di letakkan di bawah Kementerian Keselamatan Dalam Negeri, Dengan mengariskan 4 Objektif iaitu  :

  1. Mencegah seseorang dari terlibat dengan dadah.
  2. Merawat dan memulihkan penagih dadah.
  3. Mencegah penagihan semula dan
  4. Membanteras bekalan pengedaran dadah dan penyalahgunaaan dadah.

 

Manakala Moto Agensi pula, “Bersama Membasmi Dadah”, jika kita hayati moto ini membasmi dadah bukalah hanya terletak di bahu Agensi Antidadah Kebangsaan semata-mata tetapi juga semua pihak harus berkerjasama membentras gejala penagihan dadah tidak kira siapa. Ini kerana macamana pun usaha yang Agensi Antidadah Kebangsaan jalankan, tanpa sokongan dari pelbagai pihak usaha ini akan menjadi sia-sia.

Soalan 3

Bolehkah Cik Effa menerangkan serba ringkas berkenaan dengan fungsi dan peranan AADK Sekarang?

 

Jawapan 3

Seperti yang saya maklumkan tadi, Agensi Antidadah Kebangsaan adalah Agensi utama dalam memerangi dadah. Antara fungsi dan peranan AADK ialah :

–         Melaksanakan program pencegahan dari peringkat bawahan hinggalah ke peringkat atasan, iaitu dari sekolah rendah hinggalah tempat kerja, serta komuniti.

–         Melaksanakan program rawatan dan pemulihan dalam institusi dan komuniti.

–         Meningkatkan sistem maklumat dadah dan menilai keberkesanan program Anti Dadah Negara.

–         Meningkatkan kerjasama serantau dan antarabangsa dalam usaha memerangi ancaman dadah dan memberi khidmat urusetia kepada Majlis Dadah Kebangsaan.

–         Dan  AADK juga sedang dalam persediaan melatih kakitangan untuk terlibat sepenuhnya dalam penguatkuasaan.

Penubuhan Agensi Antidadah Kebangsaan ini merupakan satu alternative negara bagi mengatasi masalah dadah. Agensi Antidadah Kebangsaan mempunyai beberapa bahagian utama iaitu :

i)                    Bahagian Pencegahan,  Perancangan dan Penyelidikan

ii)                   Bahagian Rawatan dan Pemulihan

iii)                 Bahagian pengurusan

iv)                 Teknologi maklumat

v)                  Penyelarasan

vi)                 Kaunseling

vii)               Institusi – pada masa kini AADK ada 29 Pusat Serenti di seluruh Malaysia, dan hanya ada satu sahaja Pusat Serenti Wanita yang terletak di Bachok Kelantan.

viii)              Perkhidmatan luar

ix)                 Penguatkuasaan / keselamatan

x)                  Keagamaan

xi)                 Publisiti

xii)               Perancangan dan Penyelidikan

xiii)              Antarabangsa

Dan untuk makluman pendengar semua,  program AADK di Radio yang ke uadara Sekarang ini merupakan program pencegahan yang AADK laksanakan, untuk memberi pengetahuan serta maklumat kepada pendengar berkaitan dengan dadah.

Soalan 4

Cik Effa, apakah strategi yang digunakan oleh AADK untuk memerangi dadah?

Jawapan 4

Untuk memerangi dadah, AADK ada mengariskan 4 strategi iaitu :

Strategi 1 :  Pencegahan

Pencegahan merupakan strategi jangka panjang bertujuan mencegah seseorang daripada terlibat dengan dadah. Ia dibahagikan kepada pencegahan awalan dan umum. Antara objektif pencegahan adalah :

  1. Membentuk pemikiran generasi muda yang akan datang supaya membenci dadah.
  2. Mengubah sikap dan persepsi masyarakat terhadap kegiatan dadah, jika sebelum ini masyarakat tidak mengambil berat mengenai masalah dadah sekiranya mereka tidak mempunyai ahli keluarga yang terlibat dengan penagihan dadah, sebaliknya mereka mencemuh dan menghina penagih dadah serta keluarga mereka. Mereka ini hanya mengambil berat setelah ahli keluaranya terlibat dengan dadah dan ini biasanya sudah terlewat. Sikap masyarakat sedemikian perlu dikikis dan penglibatan masyarakat dalam usaha-usaha pencegahan perlu diperluas dan dipertingkatkan.
  3. Menyediakan alternative untuk menyekat ahli masyarakat daripada terlibat dengan dadah. Ini adalah penting supaya kaum remaja dapat menggunakan masa lapang mereka dengan aktiviti-aktiviti yang berfaedah. Dalam hubungan ini, pertubuhan-pertubuhan masyarakat  boleh menganjurkan berbagai-bagai aktiviti seperti sukan, kebudayaan, pendidikan dan agama. Melalui penglibatan mereka  dalam aktiviti-aktiviti yang sihat ini boleh menghindarkan mereka daripada terjebak dalam kancah dadah.

 

Strategi 2 :  Rawatan dan Pemulihan

Strategi ini bertujuan untuk memutuskan pergantungan kepada dadah dan mencegah penagihan semula. Usaha pemulihan penagih dadah adalah berbentuk reformatif di mana penagih-penagih dipulihkan daripada satu keadaan penagihan kepada suatu perwatakan yang bebas daripada pengaruh dadah. Konsep rawatan dan pemulihan yang diamalkan di Malaysia berbentuk ‘Cold Turkey” di mana rawatan diberi tanpa penggunaan dadah gantian. Ini adalah berbeza daripada amalan setengah-setengah negara yang memberi dadah gantian kepada penagih-penagih. Majlis Dadah Kebangsaan  telah bersetuju menggunakan ubat-ubatan lain untuk merawat penagih dadah.

Pelaksanaan strategi ini memerlukan pengelasan penagih kepada dua kategori iaitu penagih di peringkat mencuba-cuba (experimental state) dan penagih tegar (hardcore). Ini supaya modaliti pendekatan rawatan dan pemulihan yang diberikan kepada mereka akan lebih berkesan dan sesuai.

Strategi ini menggunakan dua pendekatan iaitu :

  1. memutuskan pergantungan kepada dadah

Pendekatan ini melibatkan aktiviti – aktiviti seperti berikut :

I)                   Pengesanan dan pengawasan penggunaan dadah pada peringkat awal.

Aktiviti pengesanan dan pengawasan penggunaan dadah di peringkat awal dijalankan supaya mereka tidak dibiarkan berterusan terlibat dengan penagihan dadah hingga peringkat serius. Kumpulan ini merupakan pengguna-pengguna baru (experimental). Mereka tidak memerlukan pemulihan intensif ataupun pengasingan yang lama kerana penagihan mereka masih di peringkat awal. Kumpulan ini lebih memerlukan sokongan terapi psikososial seperti rundingcara, penerimaan mereka oleh masyarakat dan keluarga, mendapat pekerjaan yang tetap dan suasana alam sekeliling yang menggalakkan mereka ke arah menjauhkan diri daripada dadah. Ini dilaksanakan melalui pengawasan intensif dengan melibatkan antara lain pegawai-pegawai pemulihan, guru-guru, ibu bapa dan pemimpin-pemimpin masyarakat setempat.

II)                Pemulihan Institusi    

Kebanyakan penagih yang telah dikesan di tahun-tahun kebelakangan ini, adalah terdiri daripada penagih-penagih tegar yang telah menggunakan dadah sejak beberapa tahun. Mereka ini akan meningkatkan permintaan kepada dadah terutamanya heroin dan syabu secara berterusan. Mereka akan menyebabkan merebaknya penagihan dadah di kalangan pemuda-pemudi yang lain. Untuk menyara tabiat penagihan, mereka akan menjadi penjual dadah secara kecil-kecilan. Gejala ini akan membabitkan lebih ramai pemuda lain dalam kegiatan penagihan dadah. Hanya tindakan penguatkuasaan pencegahan yang kekal dan berterusan akan menyekat daripada menularnya wabak ini.

Pemulihan institusi melibatkan pengasingan seberapa ramai penagih daripada masyarakat dan mewajibkan mereka mengikut program rawatan dan pemulihan. Peruntukan di bawah Akta Penagih Dadah (Rawatan dan Pemulihan) 1983 digunakan bagi memasukkan seberapa ramai penagih yang boleh ke dalam masyarakat supaya menjadi rakyat yang berguna dan produktif. Dalam hubungan ini, kemudahan-kemudahan rawatan dan pemulihan diperbanyakkan untuk menampung seberapa ramai penagih dadah.

Program  Rawatan dan Pemulihan perlu berbentuk ‘reformatif’ bertujuan melahirkan perwatakan yang bebas daripada dadah di kalangan penagih. Dalam hal ini unsur-unsur moral dan keagamaan, disiplin, sivik, kemahiran vokasional dan sebagainya akan diberi penekanan. Pengih-penagih dadah akan dilibatkan dalam semua aktiviti social dan ekonomi seperti bergotong-royong, kerja-kerja amal, kemasyarakatan, pertanian, ternakan dan aktiviti-aktiviti ekonomi. Bagi mancapai matlamat ini, setiap golongan masyarakat perlulah memberi sokongan masing-masing dengan menerima bekas penagih ke pangkuan mereka.

II. Sterategi yang ke dua dalam rawatan dan pemulihan pula ialah  pula adalah  : Pencegahan semula

Program pemulihan ini ditumpukan kepada pengekalan sikap dan perlakuan penagih supaya bebas daripada dadah. Jika tabiat penagihan masih wujud di kalangan bekas penagih, maka program rawatan dalam institusi adalah sia-sia  sahaja. Apa yang perlu ialah satu program jagaan lanjutan yang lasak dan intensif yang melibatkan semua golongan masyarakat. Pertubuhan-pertubuhan sukarela seperti PEMADAM, Rukun Tetangga, RELA hendaklah membantu dalam usaha-usaha menjalankan program dan membantu menyerapkan semula bekas penagih ke dalam masyarakat.

Sterategi 3 : Penguatkuasaan

Penguatkuasaan merupakan strategi yang ketiga yang bertindak dalam tiga bidang iaitu :

i)                    menyekat kemasukan dadah

Pencegahan kemasukan diutamakan untuk menghindarkan masalah dadah daripada memasuki negara ini. Strategi ini menekankan kepada usaha menguatkan dan mengukuhkan langkah penguatkuasaan untuk mencegah kemasukan dan bekalan dadah melalui jalan darat, laut dan udara. Di samping itu, usaha penguatkuasaan yang agresif terus dijalankan bagi membanteras pengedaran dan penjualan dadah dalam negeri. Rasional kepada strategi ini ialah sekiranya dadah tidak mudah dibawa masuk ke dalam negara, ia akan sukar diperolehi oleh pengguna.

ii)                  Penguatkuasaan Melalui Perundangan

Strategi ini bertujuan menggunakan undang-undang sebagai alat untuk menyokong pencegahan pengedaran dan penggunaan dadah. Strategi ini diperkuatkan untuk menjadikan dadah sebagai satu bahan yang berbahaya dan berisiko tinggi untuk dimiliki, dijual atau digunakan. Dengan demikian, bilangan pengedar dan penagih yang terlibat dan yang akan terus terlibat akan berkurangan. Undang-undang yang telah digubal adalah perlu untuk menjadikan hukumannya antara yang terkeras di dunia. Penguatkuasaan untuk merampas harta benda yang diperolehi daripada kegiatan pengedaran dadah juga akan dipertingkatkan.

iii)                Risikan

Memerangi dadah memerlukan aktiviti risikan yang cemerlang. Maklumat risikan dari dalam dan luar negeri akan dijadikan senjata terhadap individu-individu yang terlibat di dalam pengedaran dadah. Segala pengumpulan maklumat boleh diperkukuhkan dengan mewujudkan pasukan risikan khas di kawasan sempadan Malaysia / Thailand dan di Sabah / Sarawak serta luar negara. Satu sistem penyebaran maklumat risikan diwujudkan untuk kegunaan semua agensi penguatkuasa.

Strategi ke 4 : Kerjasama Antarabangsa

Masalah pengeluaran dan pengedaran dadah mempunyai dimensi antarabangsa. Strategi dadah negera tidak mungkin berjaya tanpa sokongan dan kerjasama antarabangsa. Malaysia telah memainkan peranan yang aktif dalam menggerak dan memberi keutamaan kepada usaha mencegah / mengawal penagihan dan pengedaran dadah.

Objektif-objektif yang ditekankan ialah untuk :

i)                    memupuk kerjasama yang rapat dalam usaha pengawalan dan pencegahan dadah di kalangan Negara-negara di peringkat serantau dan antarabangsa dan

ii)                   memperkuatkan usaha-usaha Malaysia dalam perjawatan dan pencegahan dadah diperingkat antarabangsa.

Untuk mencapai objektif yang saya sebutkan tadi, pendekatan yang akan dibuat ialah:

  1. meningkatkan pertukaran maklumat dalam semua bidang masalah dadah melalui organisasi serantau dan antarabangsa.
  2. meningkatkan pemindahan teknologi / metagologi pencegahan dan pengawalan dadah.
  3. mendapatkan bantuan teknik dalam mencegah dan mengawal dadah daripada organisasi antarabangsa dan negara-negara maju.
  4. menyertai persidangan , seminar, bengkel dan kursus di peringkat serantau dan antarabangsa.
  5. memajukan status pendekatan yang lebih positif dan tersusun dalam pengawalan dan pengurangan penanaman haram dan pengeluaran dadah.
  6. memajukan pengikhtirafan mengenai implikasi bahawa dadah itu mengancam keselamatan negara.
  7. memajukan penguatkuasaan undang-undang keras terhadap aktiviti pengedaran.

 

Soalan 5

Begitulah tadi panjang lebar Cik Effa menerangkan tentang strategi yang AADK gunakan untuk membentras penyalahgunaan dadah. Cik Effa, apakah harapan AADK WPL terhadap orang ramai?

Apa yang AADK harapkan, orang ramai memberi kerjasama sepenuhnya dengan program yang dijalankan oleh AADK, baik program pencegahan awalan dan komuniti. Selain itu jika ada ibubapa yang mempunyai masalah anak-anak yang terlibat dengan dadah, boleh datang ke pejabat AADK W.P Labuan yang terletak di tingkat 2 bangunan tabung haji, atau menghubungi talian 087 – 422977. Ibubapa juga boleh memohon supaya anak-anak yang terlibat dengan dadah  dipulihkan secara sukarela iaitu seksyen 8 (3) (a) sukarela di pusat serenti dan seksyen 8 (3) (b) sukarela pengawasan dalam komuniti. Saya mengharapkan ibubapa yang mempunyai masalah demikian jangan segan untuk bertemu dengan pegawai-pegawai AADK membincangkan perkara ini.

 EFFANEHWATI BTE LAKAT

PEGAWAI PEMULIHAN DADAH

Advertisements

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s