Gangguan ‘Mat Gam’

Posted: 11 April 2011 in Isu semasa / Racun

AMPANG:

Kegiatan kumpulan penghidu gam yang didakwa sering mengganggu orang ramai terutama pengguna perkhidmatan transit aliran ringan (LRT) di stesen LRT Pandan Jaya, dekat sini, semakin membimbangkan berikutan belum ada tindakan tegas diambil terhadap ‘Mat Gam’ itu. Mereka dipercayai menjadikan kawasan bawah jejambat berhampiran stesen terbabit sebagai tempat tinggal berikutan penemuan beberapa barangan termasuk tilam, pakaian dan kasut. Kumpulan tiga hingga empat Mat Gam terbabit sering dilihat berkeliaran di kawasan sekitar stesen LRT berkenaan setiap hari mengganggu ketenteraman dan keselesaan pengguna pengangkutan awam dan peniaga di situ.

KOTOR…tilam buruk digunakan penghidu gam yang
tinggal di bawah jambatan berhampiran Stesen LRT
Pandan Jaya.

Tinjauan Metroplus mendapati rata-rata pengguna LRT mengadu mereka rasa kurang selamat dan tidak selesa dengan kehadiran mat gian berkenaan yang sering mengganggu mereka. Pelajar yang hanya mahu dikenali sebagai Azura, 20, mendakwa dia takut setiap kali mahu menggunakan perkhidmatan LRT itu kerana khuatir akan diganggu oleh penghidu gam yang berkeliaran di kawasan itu. “Saya takut mahu menggunakan LRT terutama pada waktu malam kerana mereka sentiasa ada di situ dan sering meminta wang daripada saya. Saya tidak mempunyai pilihan kerana stesen LRT Pandan Jaya yang paling hampir untuk ke kolej saya,” katanya.

Pemandu teksi, Mohamad Zaki Sanudin, 65, pula berkata dia sering melihat mat gian mengganggu dan meminta wang daripada pengguna LRT, peniaga dan orang awam yang lalu-lalang di situ. “Kehadiran mereka dapat dilihat pada setiap hari terutama pada waktu tengah hari hingga lewat malam. Mereka sering meminta wang daripada pengguna LRT, peniaga, pemandu teksi dan orang awam yang menggunakan LRT Pandan Jaya. “Saya sendiri mengalami perkara sama, bagaimanapun saya jarang melayan permintaan mereka,” katanya ketika ditemui.

Mohamad Zaki berkata, dia yakin kumpulan Mat Gam berkenaan terbabit dalam kegiatan jenayah seperti pecah kereta, mencuri dan ragut. “Saya sendiri melihat mereka mencuri syiling dari telefon awam hampir setiap hari,” katanya. Sementara itu, Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Amiruddin Jamaluddin ketika dihubungi, berkata pihaknya ada menerima laporan mengenai kes terbabit dan tindakan sewajarnya sedang diambil.

Sumber :   hmetro

Tinggalkan komen