Masuk Duit Palsu,Keluar Duit Tulen!!!!!!!!

Posted: 6 Oktober 2011 in Isu semasa / berita dadah

GOMBAK: Bagaikan ahli silap mata, seorang penjenayah menggemparkan bank seluruh ibu kota apabila dikesan giat mencipta puluhan ribu not duit kertas palsu dalam hanya beberapa minit menggunakan sejenis cecair dan mesin pencetak murah.

Malah, lebih mengejutkan apabila suspek yang amat dikehendaki polis termasuk Polis Bukit Aman berupaya menukarkan duit kertas palsu yang dicetak itu menjadi ‘wang kertas tulen’ di bank tempatan pada bila-bila masa diperlukan.

Difahamkan, penjenayah pintar berkenaan menggunakan taktik memasukkan wang palsu berkenaan ke dalam mesin mendepositkan wang sebelum melakukan pengeluaran wang sah menggunakan mesin pengeluaran wang automatik (ATM) yang terletak bersebelahan.

Kegiatannya itu menyebabkan beberapa bank kerugian puluhan ribu ringgit selepas suspek kerap melakukan penipuan menggunakan modus operandi sama.

Bagaimanapun, pihak bank yang mengalami kerugian bertindak bekerjasama dengan polis sebelum identiti suspek berjaya dikenal pasti, baru-baru ini.

Ketua Polis Daerah Gombak, Asisten Komisioner Abdul Rahim Abdullah berkata, penjenayah warga tempatan berusia 30-an itu berjaya diberkas jam 10 pagi semalam sejurus sepasukan anggota polis melakukan serbuan ke atas rumah sewa suspek di Desa Jaya, di sini.

Hasil daripada pemeriksaan dilakukan, polis kemudian berjaya menemui makmal rahsia yang digunakan suspek untuk mencetak duit palsu berkenaan dalam kuantiti besar.

“Kebanyakan peralatan komputer, mesin pengimbas dan mesin pencetak berkenaan dikenal pasti digunakan untuk mencetak wang kertas ringgit Malaysia terutama membabitkan not RM50.

“Hasil pemeriksaan turut menemui kertas putih yang digunakan untuk menghasilkan wang kertas palsu berkenaan. Selain itu, polis turut menemui sejumlah wang palsu yang dianggarkan berjumlah lebih RM14,800,” katanya.

Abdul Rahim berkata, siasatan awal mendapati suspek akan menggunakan taktik merendam duit tulen RM50 ringgit di dalam cecair khas sebelum wang kertas berkenaan tercerai menjadi dua lampiran depan dan belakang.

“Suspek kemudian akan menggunakan duit kertas tulen yang dipisahkan itu untuk dilekatkan pada permukaan belakang atau depan duit palsu siap dicetak.

“Duit palsu yang siap diletakkan itu kemudian akan dikeringkan menggunakan alat pengering rambut selain turut menggunakan mesin penggelek khas,” katanya.

Menurutnya, duit palsu yang mempunyai dua permukaan tulen dan palsu itu kemudian akan dimasukkan di dalam mesin deposit yang gagal mengesan penipuan itu berikutan salah satu permukaannya adalah tulen.

“Sebaik deposit wang pada mesin itu diterima, suspek kemudian akan segera membuat pengeluaran wang melalui mesin ATM berhampiran. Kejadian penipuan ini menyebabkan rasa panik kepada beberapa bank.

“Setakat ini, tidak kurang 15 laporan polis dibuat oleh pihak bank membabitkan penipuan licik berkenaan,” katanya.

Menurutnya, suspek turut menjadikan rumah disewanya sejak hampir tiga bulan lalu untuk memproses dadah jenis syabu berikutan penemuan peralatan dan dua tiub dadah syabu.

“Pemeriksaan rekod lampau mendapati, suspek pernah ditahan polis daerah Ampang Jaya pada Ogos lalu berhubung kes dadah syabu, namun dibebaskan atas jaminan,” katanya.

Menurutnya, lelaki berkenaan yang kini ditahan polis akan dihadapkan ke Mahkamah Majistret Selayang untuk mendapat perintah tahanan reman, hari ini.

“Siasatan awal menunjukkan suspek menjadikan institusi bank di sekitar ibu kota sebagai sasaran,” katanya.

Beliau berkata, suspek akan disiasat mengikut Seksyen 489D Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 20 tahun dan denda jika sabit kesalahan.

Dalam kejadian sebelum ini dua lelaki dan seorang wanita turut pernah diberkas pihak polis selepas dikesan menjadi anggota sindiket memproses wang kertas palsu not RM50 bernilai RM23,500.

Suspek berusia 30-an ditahan polis Batu 7, Selayang Lama, Batu Caves di sini, pada 28 Mei lalu.

 

Tinggalkan Jawapan

Masukkan butiran anda dibawah atau klik ikon untuk log masuk akaun:

WordPress.com Logo

Anda sedang menulis komen melalui akaun WordPress.com anda. Log Out / Tukar )

Twitter picture

Anda sedang menulis komen melalui akaun Twitter anda. Log Out / Tukar )

Facebook photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Facebook anda. Log Out / Tukar )

Google+ photo

Anda sedang menulis komen melalui akaun Google+ anda. Log Out / Tukar )

Connecting to %s